Sabtu, 1 Februari 2014

Bulan Dua

Ini hari pertama di bulan yang baru. Dimulakan dengan rutin hidup yang sama menuju hari-hari di hadapan. Tuhan buka luaskan pintu rezeki dan memberi pencerahan minda kepada manusia agar segera menemui jalanNya. Namun setiap hamba masih lagi belum mahu berpaling menghadapNya. Masih juga leka menggenggam dunia di tangan dan mendongak tinggi. Itulah si manusia yang serba serbi kekurangan, ilmu dan iman yang masih belum mahu lekat dalam diri hina ini. Leka dibuai keseronokan dan masa yang baginya masih lagi panjang sedangkan saban hari sudah Tuhan tunjukkan pelbagai macam tanda akhir zaman. Keinginan yang dalam tersemat jauh dalam lubuk hati untuk segera kembali kepada pencipta diri. Namun masih lagi ditangguh dan tertangguh. Apakah kematian juga akan ditunda oleh si pesuruh Tuhan nanti semasa ingin mencabut mati nyawa yang dipinjam beri? Jujur sekali ketakutan itu wujud kerana tidak mahu pulang kepada pencipta dengan keadaan diri yang tidak sempat melaku apa yang benar menurut jalanNya. Kesedaran mula wujud tapi pergerakan untuk menuju masih terlalu tertangguh. Mungkinkah sudah gelap benar keadaan hati. Mungkinkah sudah terlalu selesa dengan nikmat kurniaan ilahi. Semoga Tuhan perkenan doa hamba-hamba yang terdetik dihati sanubarinya untuk mula merubah jalan. Menjadi seorang insan dan bukan sahaja manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan